Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) meluluskan usul supaya kerajaan tidak tunduk kepada desakan dan “ugutan” parti politik dan NGO Cina dengan mengorbankan hak-hak bumiputera demi meraih undi dalam pilihan raya.
Dalam usul politik yang diluluskan petang ini, Perkasa berpendapat, orang Cina merasakan menjadi penentu kemenangan kepada parti pemerintah dan pembangkang dalam pilihan raya umum yang akan datang.
Menyedari akan hal ini, maka NGO Cina seperti Ziong Dong dan Dewan Perniagaan Cina telah
menggunakan sepenuhnya kesempatan dengan mendesak kerajaan dengan pelbagai desakan yang menguntungkan kaum Cina.
“Jika sekiranya tuntutan mereka tidak diterima maka meraka akan mengugut mengundi Pakatan Rakyat yang mana sanggup menyerahkan apa saja yang kaum Cina mahu,” usul tersebut dipetik.
Usul tersebut menyatakan, hasil desakan tersebut, kerajaan antaranya menaikkan nisbah kuota biasiswa kepada golongan itu dan memberikan peruntukan sebanyak RM1.8 bilion kepada sekolah Cina.
Sementara MCA pula antaranya didakwa meminta kerajaan menambah bilangan bukan bumiputera sebagai penjawat awam dan dengan "biadap" campurtangan dengan meminta kerajaan menilai semla hukuman fizikal terhadap wanita Islam.
Sehubungan itu, usul tersebut meminta parti politik Melayu khususnya PAS dan Umno duduk semeja dan berbincang dan mengadakan kerjasama strategik demi menjaga hak Melayu dan bumiputera berdasarkan perlembagaan
Mesyuarat agung NGO itu juga turut meluluskan tiga lagi usul berkaitan politik, pendidikan, agama dan keselamatan seperti berikut:
- Memohon kerajaan mengekalkan ISA.
- Mendesak kerajaan mengunakan ISA terhadap mereka yang mempersendakan Islam, termasuk mencemar kesucian kalimah Allah
- Menggesa kerajaan meminda semula nisbah kuota bumiputera dan bukan bumiputera kepada 90:10 atau berdasarkan kompositi kaum, iaitu 67:37.