13 April 2010

Fatwa Perak bantah jawatankuasa antara agama



IPOH, 12 April — Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak yang bersidang pada 6-8 April lepas mengambil keputusan sebulat suara membantah penubuhan Jawatankuasa Antara Agama.

Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria berkata perbincangan tentang agama Islam tidak memerlukan campur tangan daripada pihak bukan Islam kerana ia boleh mengundang implikasi negatif.

“Setiap agama yang wujud tidak boleh disamakan dengan agama Islam yang mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata sebarang bentuk rundingan atau dialog terhadap agama dibolehkan namun Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak berpandangan ia patut dielakkan sama sekali terutamanya dilakukan di kalangan masyarakat umum yang lebih mengundang ketidakfahaman terhadap mereka.

Harussani berkata walaupun matlamat yang dikemukakan dengan penubuhan jawatankuasa itu adalah untuk mewujudkan keharmonian dan pemahaman agama di kalangan masyarakat Malaysia namun Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak berpendapat bahawa jawatankuasa itu bukan medium yang sesuai

“Ini memandangkan kebimbangan wujudnya tuntutan yang tidak munasabah di kalangan penganut agama lain.

Apatah lagi pewujudan jawatankuasa itu adalah rentetan daripada kegagalan penubuhan IFC (Suruhanjaya Antara Agama) yang telah ditentang dan ditolak oleh umat Islam,” katanya.

Jawatankuasa Fatwa negeri Perak mencadangkan supaya penubuhan Jawatankuasa Antara Agama itu tidak sahaja dirujuk kepada Kabinet untuk tujuan kelulusan, sebaliknya perlu turut dirujuk kepada Majlis Raja-Raja yang mempunyai kuasa tertinggi terhadap agama Islam, katanya.

Pada 6 April lalu, kabinet bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Antara Agama yang dianggotai oleh wakil semua agama tanpa campur tangan mana-mana anggota politik bagi memupuk kefahaman antara penganut-penganut pelbagai agama di negara ini. — Bernama