30 Disember 2009

Keluhuran Perlembagaan



Perlembagaan negara Malaysia ini berdasarkan kepada Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang berkuatkuasa 31 Ogos 1957, dan digubal oleh Suruhanjaya Reid. Antara lain ia menyebut tentang pembentukan kerajaan pusat yang kuat dan berkuasa ke atas negeri-negeri, kedudukan raja-raja Melayu, memilih dan melantik Yang di-Pertuan Agong daripada kalangan Raja-Raja Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu, wujudkan satu rupa bangsa, menjadikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, dan lain-lain

Sejarah penggubalan

Perlembagaan Persekutuan Malaysia ini telah dipinda oleh Suruhanjaya Cobbold disebabkan penyertaan Sabah, Sarawak, dan Singapura ke dalam Malaysia, di mana dalam perlembagaan itu telah ditambah satu kuasa yang memperakui semua undang-undang yang wujud di Sabah dan Sarawak sebelum menyertai Malaysia. Perlembagaan Malaysia yang baru ini telah diisytiharkan pada 16 September, 1963.

Parlimen

Perlembagaan Malaysia merupakan undang-undang tertinggi di negara ini. Parlimen, atau badan perundangan, kehakiman, dan eksekutif mendapat kuasa masing-masing daripada perlembagaan. Yang di-Pertuan Agong tetap sebagai Ketua Negara, juga menjalankan kuasa mengikut Perlembagaan. Oleh kerana ia merupakan undang-undang tertinggi, maka Keluhuran Perlembagaan ini dijadikan prinsip ketiga dalam Rukun Negara.

Prinsip ini menekankan betapa perlunya seluruh rakyat di negara Malaysia ini, bukan setakat menerima perlembagaan ini, tetapi hendaklah mematuhi dan mempertahankan keluhuran, atau kemuliaan Perlembagaan Malaysia itu sendiri. Perlembagaan negara Malaysia adalah sumber perundangan yang berfungsi untuk memberi perlindungan kepada setiap rakyat negara ini, tidak kira bangsa, keturunan, fahaman, agama, dan kebudayaannya. Di samping itu, melindungi hak dan keistimewaan mereka sebagai warganegara di negara ini.

Oleh yang demikian, setiap warganegara Malaysia tidak kira besar atau kecil, tua atau muda, miskin atau kaya, begitu juga yang tinggal di kampung mahupun di bandar, dikehendaki menghormati, menghargai, dan memahami maksud dan kandungan perlembagaan itu, serta latar belakang sejarah pembentukan Perlembagaan negara Malaysia itu sendiri. Ini bertujuan supaya rakyat Malaysia pada masa-masa akan datang tahu dan sedar, tidak lagi ungkit-mengungkit tentang hak-hak istimewa kaum Bumiputera, yang merupakan penduduk asal di negara ini, sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan Malaysia.

Perlembagaan Malaysia yang dikenali juga sebagai Perlembagaan Negara Malaysia itu telah digubal berasaskan semangat setiakawan dan kesepakatan semua kaum dan semua pihak di negara ini. Dengan demikian, ia sudah merupakan suatu kontrak sosial rakyat yang tidak boleh dipersoalkan dan diganggu-gugat oleh mana-mana individu, atau mana-mana pihak lagi. Perlembagaan Negara Malaysia juga telah menentu dan menetapkan pola politik dan kedudukan sosio-ekonomi rakyat negara ini.

Rukun Negara

Dengan kata lain, Perlembagaan Negara Malaysia ini menjadi sumber rujukan dalam segala hal yang ada kaitan dengan sistem pemerintahan, perundangan, kedudukan, dan hak sosio-ekonomi rakyat berbilang kaum dan agama di Malaysia ini. Pendeknya, perlembagaan yang mulia dan luhur itu wajarlah dijadikan salah satu elemen penting dalam prinsip Rukun Negara. Maka dengan sebab itu, Keluhuran Perlembagaan mengambil tempat ketiga dalam prinsip Rukun Negara.

Aspek-aspek utama

Antara aspek-aspek utama dalam Perlembagaan Negara Malaysia yang dirangkumi oleh prinsip ketiga ini adalah berkaitan dengan kedudukan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu, dan kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan. Sementara itu Hak-hak Keistimewaan Orang Melayu di Semenanjung dan Hak Keistimewaan Bumiputera di Sabah dan Sarawak juga terkandung di dalam Perlembagaan Negara Malaysia.

Walau bagaimanapun, hak-hak yang adil bagi kaum bukan Bumiputera tetap juga diberikan. Antaranya, pemberian taraf kewarganegaraan Malaysia kepada mereka yang layak, sebagaimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Negara itu sendiri. Walaupun bahasa Melayu dijadikan bahasa rasmi, namun perkembangan bahasa-bahasa lain adalah tidak dihalang, atau disekat. Malah bahasa Inggeris sendiri dijadikan bahasa kedua Malaysia.

Begitu juga halnya dengan agama Islam, walaupun secara rasminya telah menjadi agama utama, namun orang bukan Islam juga bebas untuk menganuti dan mengamalkan agama mereka, mengikut kepercayaan agama masing-masing. Manakala hak asasi rakyat juga dijamin dan dilindungi oleh Perlembagaan Negara Malaysia ini. Pendeknya, tiada sesiapa pun, atau mana-mana pihak yang boleh menggangu-gugat hak asasi rakyat di negara ini.

Sebagai undang-undang yang tertinggi sifatnya, maka Perlembagaan Negara Malaysia mestilah dihormati, dijunjung tinggi, dan dimuliakan. Sesungguhnya, kalau Keluhuran Perlembagaan negara Malaysia ini tercemar, bererti satu penghinaan kepada bangsa dan negara sudah berlaku. Justeru itu, kestabilan negara juga akan tergugat sekiranya rakyat tidak menerima dan menghormati keluruhan Perlembagaan Negara Malaysia ini.

Tanggungjawab rakyat


Apa yang lebih mendukacitakan kita lagi andainya terdapat sebilangan rakyat negara ini yang terus mempersoalkan dan mengkritik Perlembagaan Negara Malaysia ini tanpa

mengetahui langsung asal-usul dan sejarah penggubalannya. Justeru itu, menyanjung, menjunjung tinggi, dan mendaulat serta mempertahankan Perlembagaan Negara Malaysia adalah satu tanggungjawab yang mulia dan terpuji bagi setiap warganegara Malaysia, tidak kira bangsa, keturunan, agama, dan kebudayaannya.

Kestabilan negara menjadi pedoman kepada seluruh rakyat Malaysia yang berbilang kaum, ke arah pembentukan perpaduan nasional. Ketiga-tiga prinsip ini jelas kelihatan bertujuan supaya rakyat Malaysia bersatu-padu di bawah satu negara yang mempunyai perpaduan kukuh, sehingga sukar diganggu-gugat oleh apa juga anasir negatif yang cuba memecah-belahkan kita.

Sesungguhnya, apabila wujudnya perpaduan nasional, maka barulah terjamin kesejahteraan masyarakat majmuk, dan seterusnya akan melahirkan pula sebuah negara dan bangsa Malaysia yang bersatu, demokratik, adil, liberal, dan saintifik tanpa mengira keturunan dan kepercayaan. Pendeknya, jelas sekali prinsip ini merupakan kunci kepada masyarakat pelbagai kaum di Malaysia ini, demi untuk memelihara serta mengekalkan keharmonian dan perpaduan kaum bagi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara Malaysia itu sendiri.

29 Disember 2009

Ambillah Iktibar

28 Disember 2009

Lelaki bantah Kerajaan Pulau Pinang diserang



Seorang lelaki yang terlibat dalam kekecohan semasa satu demonstrasi di hadapan DUN Pulau Pinang pada 30 Nov lepas, cedera diserang sekumpulan lapan lelaki di kawasan Perusahaan Mak Mandin di sini, semalam.

S Krishnan Nair, 46, berkata dia yang diserang dengan senjata tajam, menerima 16 jahitan apabila paha kanan dan bahagian belakang badannya dikelar manakala dadanya ditumbuk.

Dalam kejadian kira-kira 10 malam itu, mangsa yang bekerja sebagai penghantar surat dalam perjalanan dari Butterworth ke Mak Mandin dengan menunggang motosikal.

"Semasa saya tiba di Kawasan Perusahaan Mak Mandin, saya rasa ada beberapa orang yang saya tidak kenal mengekori saya dengan menaiki motosikal," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di balai polis Mak Mandin kira-kira 12 tengah malam tadi.

Beliau berkata kumpulan itu kemudiannya bertindak menghalang perjalanannya dengan alasan mahu berbual.

"Saya kata pada mereka jika mahu sembang mari kita pergi minum atau balik rumah tetapi mereka tidak mahu dan terus menyerang saya dan lari," katanya.

Krishnan berkata beliau terus menelefon seorang rakannya untuk mendapatkan pertolongan yang kemudian membawanya ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan.

Pada 30 Nov lepas, sekumpulan 100 penduduk Pulau Pinang yang tidak berpuas hati dengan pentadbiran kerajaan negeri mengadakan demonstrasi di hadapan bangunan DUN Pulau Pinang.

Perhimpunan yang disertai beberapa pemimpin dan anggota parti komponen BN serta penduduk Kampung Buah Pala itu menyaksikan potret Ketua Menteri Lim Guan Eng dibakar dan gesaan supaya beliau meletak jawatan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Supt Mohamad Sukri Awang, ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung perkara itu dan tiada tangkapan dibuat setakat ini. BERNAMA

24 Disember 2009

Hikayat Hang Tuah - Pahlawan Melayu

Hang Tuah ialah seorang pahlawan legenda berbangsa Melayu pada masa pemerintahan Kesultanan Melaka di abad ke-15 (Kesultanan Melayu Melaka) bermula pada 1400-1511 A.D. )[Menurut rekod sejarah, beliau lahir di Kampung Sungai Duyong, Melaka kira-kira dalam tahun 1444 A.D. Bapanya bernama Hang Mahmud manakala ibunya pula ialah Dang Merdu Wati. Bapanya juga pernah menjadi hulubalang istana yang handal suatu ketika dulu, begitulah juga ibunya yang merupakan keturunan dayang di istana. Hang Tuah ialah Laksamana yang terkenal dengan kesetiaannya kepada Raja dan merupakan petarung silat yang amat handal dan tiada tolok bandingnya.
Hang Tuah dan empat orang kawannya: Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu menuntut ilmu bersama Adiputra di Gunung Ledang. Selesai menuntut ilmu, mereka berlima kembali ke kota Melaka.

Pada suatu hari, mereka berjaya menyelamatkan Dato' Bendahara (iaitu Perdana Menteri) daripada seorang lelaki yang sedang mengamok. Dato' Bendahara kagum dengan ketangkasan mereka dan menjemput mereka semua ke rumahnya dan seterusnya mengambil mereka untuk bertugas di istana.

Sejak itu Hang Tuah dan sahabat-sahabatnya amat disayangi oleh Sultan hinggalah Hang Tuah mendapat gelar Laksamana. Semasa mengiringi Sultan Melaka ke Majapahit di tanah Jawa, Hang Tuah telah berjaya membunuh seorang pendekar Jawa bernama Taming Sari. Dalam pertarungan itu Taming Sari, seorang pendekar yang kebal yang tidak dapat dilukakan. Tetapi Hang Tuah mengetahui bahawa kekebalan Taming Sari terletak pada kerisnya. Oleh itu Hang Tuah berjaya merampas keris berkenaan dan membunuh Taming Sari. Keris itu kemudiannya dianugerahkan oleh Betara Majapahit kepada Hang Tuah. Pemilik keris ini akan turut menjadi kebal seperti pendekar Jawa Taming Sari.

Hang Tuah telah diutuskan ke Pahang bagi mendapatkan Tun Teja untuk dijadikan permaisuri Sultan Melaka. Ketika Hang Tuah ke Pahang, Melor turun dari Gunung Ledang mencari Hang Tuah. Melor telah ditawan oleh Tun Ali atas hasutan Patih Karma Vijaya bagi dijadikan gundik Sultan. Atas muslihat Tun Ali juga, Hang Tuah yang kembali dari Pahang akhirnya dapat berjumpa Melor, tetapi Sultan juga turut menyaksikan perbuatan Hang Tuah itu. Melor dan Hang Tuah dihukum bunuh kerana difitnah berzina dengan Melor yang telah menjadi gundik Sultan. Namun, hukuman mati tidak dilaksanakan oleh Bendahara sebaliknya Hang Tuah disembunyikannya di sebuah hutan di Hulu Melaka.

Hang Jebat telah dilantik oleh Sultan menjadi Laksamana menggantikan Hang Tuah dan keris Taming Sari telah dianugerahkan kepada Hang Jebat. Hang Jebat sebagai sahabat karib Hang Tuah, menyangka bahawa Hang Tuah telah teraniaya dan telah menjalani hukuman mati. Hang Jebat (menurut Hikayat Hang Tuah) atau Hang Kasturi (menurut Sejarah Melayu), bertindak derhaka kepada Sultan dan mengambil alih istana. Tidak ada pendekar atau panglima di Melaka yang dapat menentang Hang Jebat (atau Hang Kasturi) yang telah menjadi kebal kerana adanya keris Taming Sari di tangannya

Sultan Mahmud terpaksa melarikan diri dan berlindung di rumah Bendahara. Pada masa itu baginda baru menyesal kerana membunuh Hang Tuah yang tidak bersalah. Inilah masanya Bendahara memberitahu yang Hang Tuah masih hidup. Hang Tuah kemudiannya telah dipanggil pulang dan dititahkan membunuh Hang Jebat. Setelah tujuh hari bertarung, Hang Tuah akhirnya berjaya merampas semula Taming Sarinya daripada Hang Jebat dan membunuhnya.

Dalam pertarungan yang sedih ini, Hang Jebat telah cuba membela sahabatnya yang telah difitnah. Namun begitu, Hang Tuah telah membantu sultan yang sebelum itu menghukumnya tanpa sebarang alasan. Sedangkan Abu Bakar Siddiq R.A juga berkata kepada orang Muslim bahawa jika dia bersalah, rakyat boleh menjatuhkannya. Ternyata, kesilapan Hang Tuah yang tidak berfikir bahawa Allah S.W.T lebih berkuasa dari sultan dan memang tidak salah Hang Jebat cuba menegakkan kebenaran. Tragedi ini masih menjadi perbalahan orang melayu sampai sekarang.

Namun begitu, ada juga yang menyokong Hang Tuah. Ini kerana Hang Jebat bukan saja derhaka kepada sultan bahkan telah membunuh ramai orang/rakyat Melaka yang tidak berdosa dengan mengamuk di dalam istana dan seluruh Melaka. Tindakan Hang Tuah yang membunuh Hang Jebat mungkin satu tindakan yang berupa hukuman mati terhadap pembunuh.
Sumpah yang terkenal daripada Hang Tuah ialah "Tak Melayu hilang di dunia" yang bererti suku Melayu tidak akan punah di bumi ini.

10 Disember 2009

Buatlah Persiapan Terakhir !!!!! Untuk Mempertahankan Hak Dan Maruah Bangsa



'Biadap!!!! wakil DAP persoal dana untuk masjid


Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) menyifatkan anggota parlimen Taiping, Nga Kor Ming sebagai biadap dan cuba menyalakan api dalam sekam apabila mengungkit perbelanjaan kerajaan membina masjid dan mendesak kerajaan memberi peruntukan lebih kepada rumah ibadat bukan Islam.

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata Nga daripada DAP telah menyentuh hal ehwal agama Islam yang terletak bawah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu.

"Dia boleh desak kerajaan beri peruntukan lebih untuk kegiatan agama lain tetapi dia tak boleh membandingkan peruntukan yang diberi oleh kerajaan untuk pembinaan masjid.



"Apabila itu berlaku apatah lagi dibuat di luar Parlimen, maka ini sudah jadi hasutan selain satu kenyataan politik yang cuba menimbulkan pergaduhan agama," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Ibrahim, juga ahli parlimen Pasir Mas, berkata tiada sesiapa pun yang berhak membangkitkan soal perbelanjaan yang diperuntukkan untuk membina masjid walaupun dengan tujuan untuk meminta peruntukan yang lebih bagi aktiviti agama lain.

Semalam, Nga mengeluarkan kenyataan mempersoalkan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM748.26 juta bagi membina 611 masjid bagi tempoh 2000 hingga 2008 sedangkan pada masa yang sama kerajaan gagal membina rumah ibadat bagi agama lain.

Ibrahim berkata jika kenyataan itu dibuat ketika perbahasan dalam Parlimen sekalipun, ia dilarang kerana bukan semua perkara boleh dibangkitkan sewenang-wenangnya atas nama kekebalan anggota parlimen.

Katanya, Perkasa akan mengadakan satu mesyuarat tergempar bagi membincangkan isu itu. BERNAMA