19 Oktober 2009

1Malaysia tidak bermakna Melayu terus bertolak ansur


Perwakilan Johor hari ini menggesa Umno supaya tidak terjebak dengan andaian bahawa gagasan 1Malaysia akan menjadikan orang Melayu bertolak ansur dengan tuntutan kesamarataan oleh bukan Melayu.

Bercakap ketika membahaskan ucapan dasar presiden parti itu, Datuk Samsol Bari Jamali hari ini berkata gagasan 1Malaysia yang dipelopori presiden parti itu merupakan "penawar" kepada gagasan Malaysian Malaysia yang didakwa telah mencabul hak Melayu yang telah disepakati.

"Dalam usaha mencapai gagasan 1Malaysia ini kita tidak harus terjebak dan terperangkap dengan andaian kita akan terus bertolak ansur," kata Samsol.

"Unsur berkompromi ini, berakomodasi ini dan bertolak ansur yang selama ini kita amalkan dengan niat yang baik sama ada ianya secara sedar atau tidak sedar telah mengundang persepsi dan penilaian yang berbeza di kalangan kita sendiri," katanya lagi.

Menurutnya, ada di kalangan orang Melayu yang telah "meluat dan bosan" dengan kompromi ang ditunjukkan selama ini kerana telah menyebabkan kepentingan golongan itu semakin terhakis sehingga menyebabkan kehilangan sokongan dari orang Melayu sendiri.

"Hakikatnya, sebenarnya selama ini fahaman terhadap amalan berkompromi adalah saling menguntungkan.

"Namun demikian ia juga secara kumulatif berlaku kecairan kepentingan Melayu Bumiputera yang sentiasa kelihatan mengalah dan dari segi kosnya kita membayar dengan kehilangan sokongan demi sokongan di kalangan kita sendiri," jelas Samsol.

Katanya lagi, keadaan berlaku sedangkan orang Melayu masih membenarkan orang bukan Melayu mengekalkan ciri budaya, meraih kekayaan dan berkongsi kuasa.

"Keadaan ini membawa natijah berlakunya kezaliman terhadap kepentingan dan peranan bumiputera, misalnya kita membenarkan pihak-pihak lain mengekalkan ciri kebudayaan mereka tetapi mereka masih menuntut kesamarataan.

"Dari segi ekonomi pula kita membenarkan mereka meraih dan mengekalkan sebanyak-banyaknya kekayaan namun mereka masih menghalang pengagihan saksama kekayaan negara ini.

"Dalam politik pula kita ambil maklum kita berkongsi kuasa memerintah negara tetapi masih pula ada pihak yang masih mencabar kedaulatan Melayu yang ada," katanya lagi.

Jelasnya lagi, kompromi dengan bukan Melayu mestilah dilaksanakan tanpa menjejaskan kedaulatan Melayu seperti yang diperuntukkan perlembagaan.

"Justeru, segala bentuk kompromi, akomodasi dan tolak ansur ini mestilah dilaksanakan tanpa menjejaskan kedaulatan Melayu seperti termaktub dalam perlembagaan agar keyakinan orang Melayu dan bumiputera terhadap Umno sebagai pembela dan pelindung akan kekal," tambahnya.

Menurutnya, konsep kesamarataan yang dikatakan sebagai pengisian Malaysian Malaysia tidak membawa "makna kewujudan kepada seluruh bangsa Malaysia."

"Malahan ia boleh menjurus kepada kezaliman bila hak yang sah dalam undang-undang ini yang disepakati dan digubal bersama, dicabul dan dinafikan.

"Maka sebab itulah gagasan 1Malaysia ini akan menjadi penawar kepada racun dalam gagasan Malaysian Malaysia sehingga berlaku kezaliman terhadap kaum bumiputera," kata Samsol.

Beliau turut menolak pandangan yang menyamakan gagasan yang dipelopori presiden Datuk Seri Najib Razak itu dengan gagasan Malaysian Malaysia.

"Sesungguhnya kita menolak andaian yang menyamakan gagasan 1Malaysia dengan Malaysian Malaysia kerana pada hakikatnya Malaysian Malaysia itu yang berpaksikan kesamarataan akan menjurus kepada ketidakadilan sosial dalam konteks Malaysia yang ada," katanya

Katanya lagi golongan yang mendokong gagasan Malaysian Malaysia itu juga telah menimbulkan prasangka di kalangan masyarakat terhadap peruntukan hak-hak Melayu di dalam perlembagaan.

"Pendokong Malaysian Malaysia itu sentiasa membuat tafsiran penuh prasangka dan serong terhadap peruntukan perlembagaan yang ada.

"Tafsiran inilah yang digembar-gemburkan dan diseleweng hingga menjadi punca timbulnya penuh prasangka dan ketidakadilan berlaku pada pihak yang lain sedangkan pihak yang berprasangka ini menguasai kemewahan tanpa batasan," katanya lagi.

Sumber: http://www.malaysiakini.com/