27 Februari 2011

Cara sistematik hapus hak bumi

SHAH ALAM 22 Feb. – Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) negeri menyifatkan cadangan menghapuskan syarat tiga bulan bagi pemaju mendapatkan pembeli bumiputera dalam sesuatu projek perumahan di negeri ini sebagai satu cara sistematik untuk menghapuskan hak bumiputera.

Yang Dipertuanya, Abdulah Mansor berkata, sekiranya benar cadangan tersebut akan diluluskan oleh Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, ia boleh dianggap langkah meminggirkan bumiputera di kawasan bandar.

“Kita membantah cadangan ini kerana penghapusan syarat tersebut jelas menunjukkan tiada lagi kuota bumiputera dalam pembelian kediaman di negeri ini.

“Ini kerana, sekiranya cadangan itu dilaksanakan, pihak pemaju tidak perlu menunggu dalam tempoh tiga bulan sebaliknya bebas menjualnya kepada pihak lain sebelum tempoh itu atas alasan tiada pembeli bumiputera.

“Kita serius perkara ini dan seolah-olah satu cubaan kerajaan negeri untuk meminggirkan bumiputera dari segi pemilikan ekuiti khususnya di kawasan bandar,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Abdullah berkata, cadangan tersebut dilihat sebagai penerusan kepada dasar meminggirkan bumiputera di kawasan bandar selepas kerajaan negeri mengumumkan projek mewah Datum Jelatek, Kuala Lumpur sebelum ini.

Katanya, lokasi asal tapak projek tersebut menempatkan pangsapuri Jelatek yang majoritinya didiami oleh golongan bumiputera.

“Kerajaan negeri buat projek mewah di kawasan itu dan berikan pampasan kepada para penghuni pangsapuri berkenaan.

“Projek itu adalah projek mewah yang tidak mampu dimiliki oleh kebanyakan bumiputera. Maka, kita lihat ini satu langkah untuk mengusir bumiputera dari kawasan bandar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO negeri, Abdul Shukor Idrus berkata, pihaknya kesal dengan perancangan kerajaan negeri dalam soal itu yang dilihat hanya akan memburukkan lagi keadaan keseimbangan ekonomi dan pemilikan ekuiti antara kaum di negara ini.

Katanya, kesan itu sudah pasti berlaku golongan bumiputera masih lagi belum mencapai sasaran 30 peratus pemilikan ekuiti dan ekonomi termasuklah kuasa beli serta pendapatan mereka yang masih rendah berbanding dengan kaum lain di negara ini.

“Kerajaan negeri tidak sepatutnya hanya mengambil kira soal keuntungan semata-mata dalam soal ini dan membiarkan wujudnya ketidakseimbangan ekonomi dan sosial antara kaum di negeri ini,” katanya