16 April 2010

Parti Tindakan Demokratik ( DAP )

Parti Tindakan Demokratik (DAP: Democratic Action Party) adalah parti serpihan daripada Parti Tindakan Rakyat (PAP: People's Action Party) di Singapura yang diasaskan pada Oktober 1965 sebelum didaftarkan secara rasmi enam bulan kemudian sebagai salah satu parti politik Malaysia, pada 18 Mac 1966. Parti Tindakan Demokratik (DAP) berfungsi sebagai sebuah parti demokratik sosial yang "berjanji akan berpegang kuat kepada ideologi satu negara Malaysia yang bebas, demokratik dan berfahaman sosialis, berdasarkan prinsip-prinsip keadilan kaum dan kesaksamaan sosial dan ekonomi yang berasaskan institusi demokrasi berparlimen." (Pengisytiharan Setapak, dibuat pada Kongres Kebangsaan DAP pertama di Setapak, Kuala Lumpur pada 29 Julai 1967).

Pada Ogos 1966, lidah rasmi parti iaitu Roket diterbitkan buat pertama kali.

Pada Oktober 1967, DAP menyertai 55 parti demokratik sosial, sosialis dan buruh yang lain di seluruh dunia sebagai ahli Sosialis Antarabangsa (SI) di Persidangan Antarabangsa SI di Zurich, Switzerland.

DAP mencapai pencapaian tertinggi pada Pilihan Raya Umum Malaysia 2008 ketika berjaya menembusi kubu kuat BN di Pulau Pinang. DAP berjaya menewaskan Gerakan di semua parlimen yang ditandingi parti komponen BN itu.

Walaupun memperjuangkan dasar "Malaysian Malaysia" DAP dilihat sebagai parti yang pro-Cina. Ini memandangkan jawatan utama parti dikuasai oleh ahli politik cina yang agak menebal dasar kebangsaannya. Namun, kesepakatan DAP dan PAS dalam pakatan rakyat telah memberikan satu nafas baru.

15 Mac Hari Hak Keistimewaan Melayu

PETALING JAYA, 15 April — Tanggal 15 Mac diisytiharkan sebagai Hari Hak Keistimewaan Melayu – diputuskan selaras dengan Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan, kata Presiden Gabungan Pelajar Melayu Malaysia (GPMS), Jais Abdul Karim.

Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan memberi hak kepada Yang di-Pertuan Agong, bertanggungjawab menjaga hak-hak dan keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera.

Ia secara terperinci memberitahu bagaimana kerajaan persekutuan mempertahankan kepentingan kumpulan-kumpulan ini dengan mengadakan kuota untuk kemasukan perkhidmatan awam, biasiswa dan pendidikan awam.

Dalam ucapannya pada majlis pelancaran Skuad Jelajah Motivasi 1Malaysia di Universiti Malaya hari ini, Jais berkata, Hari Hak Keistimewaan Melayu adalah berdasarkan Agenda 153, yang mempertahankan hak-hak keistimewaan orang Melayu.

“Kami yakin bahawa 1Malaysia adalah (elemen) 1Malaysia yang didapati dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara,” kata Jais.

Dalam ucapannya, Jais juga memberi amaran tegas kepada golongan Melayu yang liberal dan pemimpin bukan Islam yang rasis agar tidak bertindak bertengangan dengan Agenda 153.

“GPMS akan mempertahankan hak-hak orang Melayu sehingga titisan terakhir darah,” katanya.

Awal bulan ini, GPMS membuat laporan polis terhadap Pengerusi DAP Karpal Singh yang didakwa mempersoalkan hak-hak keistimewaan. GPMS terdiri daripada 400,000 ahli.

Apa Itu ISA


Apakah itu AKDN atau ISA?

Akta ini adalah salah satu undang-undang pencegahan yang digubal di bawah perkara 149,Perlembagaan Persekutuan. Ia telah dikuatkuasakan di Semenanjung Malaysia pada 1 Ogos 1960 dan diperluaskan penguatkuasaannya di Sabah dan Sarawak pada 16 September 1963.

Apakah tujuan tujuan ISA?
Tujuan ISA adalah untuk mengelakkan dari berlaku ancaman keselamatan, ketenteraman awam dan keamanan negara yang dilakukan oleh individu atau kumpulan tertentu yang bertujuan menganggu-gugat keamanan dan kestabilan negara.

Pernahkah ISA dipinda?
ISA pernah dipinda beberapa kali pada tahun-tahun berikut:
1) 1962
2) 1963
3) 1964
4) 1965
5) 1966
6) 1969
7) 1989

Apakah contoh-contoh kes yang membabitkan tindakan ISA?

PKM
Mei 13
Al-Maunnah
Jamaatul Islamiyah
Jundul-Ilah
Penculikan di Sabah
Hindraf

Kenapa tidak digunakan Ordinan Jenayah sedia ada?
ISA tidak bermotif untuk menganayai sesiapa juga yang ditahan oleh polis. Mereka ditahan berasaskan kepada kegiatan-kegiatan yang boleh mengganggu-gugat keselamatan dan ketenteraman awam termasuklah sabotaj, subversif, pengintipan(espionage), ekstremis agama dan kaum, keganasan dan militan.
Selain itu, maklumat risikan dari dalam dan luar negera terutamanya dari badan-badan keselamatan awam negara luar juga diambil kira.Penilaian tahanan ISA diasaskan kepada maklumat terperinci pihak polis. Sekiranya tiada sebarang bukti, tahanan dibebaskan mengikut masa tertentu.
Peruntukan undang-undang Kanun Acara Jenayah dan Kanun Keseksaan, tidak mempunyai peruntukan untuk membicarakan kes-kes ISA.

Apakah yang dimaksudkan dengan penahanan?
Seksyen 73 (1) ISA memberi kuasa kepada polis mengambil tindakan awalan menahan mana-mana individu/kumpulan yang dianggap boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman awam. Seksyen ini membolehkan polis menahan individu berkenaan selama;


a) 1 hari 1 malam (24 jam)
b) 2 hari 2 malam (48 jam)
c) 1 minggu (168 jam)
d) 60 hari (1440 jam)

Jika pihak polis belum berpuas hati selepas 60 hari, ia perlu memaklumkan kepada Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dengan mengemukakan hujah-hujah yang kukuh bagi membolehkan tahanan dilanjutkan lebih daripada 60 hari.
Benarkah ISA dikatakan bertentangan dengan hak asasi manusia?
Sebenarnya dalam masa 3 bulan tahanan boleh dirujuk kepada Lembaga Penasihat Tahanan mengenai hak mereka dengan membawa peguam mereka bersama-sama dengan Lembaga Penasihat Tahanan. Sekiranya Lembaga Penasihat mendapati tahanan berkenaan masih ada ancaman keselamatan maka, tahanan boleh dilanjutkan sehingga 60 hari.

Adakah ruang rayuan untuk mereka yang ditahan?
Walaupun peruntukan 73(1) menyatakan pihak polis tidak perlu merujuk kepada Menteri Dalam Negeri, namun tahanan mempunyai hak untuk mencabar kesahihan penahanan mereka dan juga berhak membawa keluarga bersama peguam berhadapan dengan Lembaga Penasihat.

Selepas 60 hari, jika pihak polis mendapati masih ada ancaman kepada keselamatan negara maka perakuan hendaklah dibuat kepada Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri mengikut peruntukan seksyen 8(1) atau 8(5) dimana Menteri akan melihat hujah-hujah pihak polis untuk menahan individu berkenaan melebihi 60 hari.

Selepas Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri mengkaji hujah-hujah yang dikemukakan oleh pihak polis Menteri perlu menurunkan tandatangan ke atas dokumen yang dipanggil perintah terhad (Detention Order).

Adakah negera-negera lain mempunyai akta yang serupa ISA?
Beberapa negara lain turut mempunyai undang-undang yang meyerupai ISA untuk mempertahankan keselamatan negara mereka dari ancaman dalam dan luar.

Singapura mempunyai ISAnya tersendiri bagi tujuan menahan individu yang dianggap boleh mengancam keamanan dan keselamatannya. Pada 1963 dalam operasi Coldstore seramai 100 individu-individu terdiri dari ahli-ahli politik dan persatuan telah ditahan. Pada 2006, Singapura menahan Mas Selamat Bin Kastari, anggota (JI) Jamaatul Islamiyyah.

Brunei juga berhadapan dengan ancaman tertentu dan ISA telah digunapakai.

Filipina, Thailand dan Indonesia tidak mempunyai akta bertulis seperti ISA. Mereka menggunakan undang-undang sedia ada untuk menangani individu-individu yang menjejaskan keselamatan negara mereka.

Di Indonesia, aktivis-aktivis Jamaatul Islamiyyah (JI) begitu aktif dan mereka telah melakukan pengeboman di beberapa hotel terkemuka di Jakarta pada 17 Julai 2009. Pada 2002, Bali juga menghadapi pengeboman yang telah mengorbankan 202 orang, majoritinya pelancong dari Australia.

Negara Thailand mengakui bahawa Malaysia adalah satu-satunya Negara aman yang mempunyai akta khusus untuk menghadapi ancaman yang memudaratkan Negara.

Amerika Syarikat sebuah negara yang mengagungkan demokrasai dan hak asasi turut mempunyai akta yang serupa yang dipanggil The USA Patriot Act (Providing Appopriate Tools Required to Intercept and Obstruct Terrorism Act).

Akta yang komprehensif itu melibatkan pindaan-pindaan akta lain demi mengukuhkan perpaduan Amerika Syarikat. Misalnya, Patriot Act membolehkan pindaan dibuat kepada akta Immigration and Nationality Act (INA).

Ia membolehkan menahan seseorang asing yang membahayakan keselamatan AS sehingga 90 hari dan paling lama 6 bulan jika diperlukan.

Dalam kes pengeboman New York Trade Centre pada 9 September, ramai individu dari negara asing yang disyaki terlibat dalam tragedi itu ditahan dan dipenjarakan di penjara Guantanamo Bay sehingga kini, termasuk 2 dari rakyat Malaysia.

Akta ini walaupun diterima oleh majoriti ahli kongres tetapi telah dikritik keras oleh kumpulan-kumpulan hak asasi manusia, namaun kerajaan AS tetpa mempertahankannya.

Di United Kingdom, akta seperti ISA yang dipanggil Terrorism Act yang bukan baru telah diguna pakai untuk berdepan dengan terrorism di utara Ireland.

Adakah ISA releven dengan pandangan Islam?
Doktor Borhanuddin Al Hilmi pengasas Parti Islam SeMalaysia (PAS) membuat perbandingan tentang ISA dengan sebilah pisau yang tajam yang boleh digunakan untuk kebaikan, dan pada masa yang sama juga boleh digunakan untuk keburukan.

Ibnu Najim berpendapat:
“Sesuatu tindakan yang diambil oleh pemerintah yang pada pandangannya boleh menjaga kepentingan umum, sekalipun tidak terdapat dalil yang khusus mengenainya boleh dilaksanakan”.

Doktor Mohamad Mahmud Al Khalidi dalam kitabnya ”Qawa’id Nizam Al Hukmi Fi Al Islam” sebuah tesis Ph.D beliau menyatakan:
“Para sahabat juga sependapat mengatakan bahawa melaksanakan peraturan yang didokong oleh pemerintah adalah wajib dan tidak halal bagi seseorang muslim mengikut hukum, undang-undang serta sistem pentadbiran yang lain dari apa yang ditentukan oleh pemerintah”.

Misalnya, apabila pemerintah telah menentukan undang-undang berkaitan jalan raya, seluruh umat wajib disisi syarak mematuhi apa yang diperintah oleh Ketua Negara. Prinsip Sad Az Zara’ie iaitu: “Membendung Punca Keburukan”


Pemimpin Melayu mesti bersatu pertahankan Perkara 153

Perlukah sembah derhaka semata-mata kerana hasrat peribadi tercabar? Perlukah Melayu mempertikaikan dasar yang bertujuan menjaga dan memelihara kedudukan ekonomi Bumiputera di buminya sendiri? Perlukah pihak lain mempertikaikan institusi beraja, kedaulatan undang-undang dan kontrak sosial yang dipersetujui menjelang 1957?

Hari ini, selepas 53 tahun merdeka, apakah Melayu boleh berbangga dengan pencapaian ekonomi mereka? Tidakkah mereka gusar menatap statistik pemilikan ekuiti mengikut kaum ketika ini, Melayu adalah paling rendah.

Mereka juga kecundang di Pulau Pinang walaupun kerajaan bertukar tangan dan jawatan Ketua Menteri silih berganti yang membabitkan pimpinan kaum lain.

Melayu terus terpinggir di Pulau Mutiara. Pembinaan bangunan komersial mahupun kediaman, bukan jangkauan Melayu memilikinya. Harganya terlalu tinggi, dan dasar kerajaan negeri sejak 1957 sentiasa tidak memihak kepada Melayu.

Akhirnya mereka terpinggir atau tercampak ke Tanah Besar. Kawasan pembangunan pesat di Pulau Mutiara bukan milik mereka lagi.

Perkembangan terkini mendorong beberapa badan bukan kerajaan (NGO) Melayu mengadakan pertemuan baru-baru ini semata-mata membincangkan nasib bangsa.

Mereka bersuara dan mendebatkan beberapa isu kerana merasakan Umno dan Pas masih terlalu ideal untuk berpolitik, bukannya mempertahankan hak sepatutnya. Terlalu banyak lompang yang perlu diperjuangkan untuk kepentingan bangsa.

Keadaan ini juga mendorong berlangsungnya majlis Wacana 153 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 15 Mac lalu anjuran Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Gabungan Penulis Nasional (Gapena).

Mereka bersuara mengenai wujudnya golongan Melayu yang sanggup menentang undang-undang termasuk Perkara 153 iaitu hak dan keistimewaan Melayu dan Bumiputera di negara ini.

Ketua II Gapena, Prof Datuk Dr Abdul Latiff Abu Bakar, berkata mereka adalah golongan Melayu yang lupa daratan, mudah terpengaruh dengan idealisme Barat yang tidak realistik dan mempunyai kepentingan politik sempit.

“Walaupun sebahagian besar mereka menikmati hasil dan kebaikan daripada kewujudan Perkara 153 ini, tetapi apabila berjaya, mereka jadi ‘kacang lupakan kulit’. Mereka lupa tanggungjawab mempertahankan warisan itu kepada generasi akan datang,” katanya dalam kertas kerja: Sejarah dan Cabaran Terhadap Perkara 153.

Katanya, pemikiran dan gagasan pemimpin Melayu sama ada dalam parti politik, NGO dan perkhidmatan awam yang tidak bersatu juga menyukarkan usaha memelihara Perkara 153.

Lebih malang, ada yang sanggup menggunakan Perkara 153 bagi mewujudkan propaganda yang tidak perlu dan mereka harus menghentikan perkara yang boleh menghancurkan hak bangsa sendiri.

“Lahirnya pelbagai media alternatif yang memberi kebebasan tanpa sempadan kepada sesiapa juga bersuara termasuk isu sensitif berkenaan keistimewaan Melayu tanpa memikirkan implikasinya juga menyukarkan usaha melindungi Perkara 153,” katanya.

Hari ini ledakan teknologi maklumat sudah menjadi tradisi baru yang amat menggerunkan. Pelbagai isu dipaparkan menerusi pelbagai medium dalam internet. Pelbagai berita, pendedahan, maklumat dan sebaran am terdedah hanya melalui paparan skrin komputer riba.

Bagi mereka yang mahu merayakan kebebasan media kerana kononnya akhbar dan majalah tempatan terkongkong, inilah masanya untuk berpesta untuk kebebasan maklumat.

Keadaan ini mendorong penyebaran dakyah yang mempertikaikan institusi beraja, merendahkan martabat mufti dan menafikan hak Melayu di tanahnya sendiri.

“Sepatutnya ruang media ini dimanfaatkan untuk menyampaikan maklumat yang tepat dalam mendidik generasi muda berfikir secara matang dan rasional. Semua pihak terbabit perlu bertanggungjawab dalam mengawal diri sendiri dan melengkapkan akal dengan ilmu dan fakta secukupnya sebelum melontar atau menulis pendapat di ruang siber,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Gapena, Prof Tan Sri Dr Ismail Hussein menyelar mereka yang mempertikaikan peruntukan Perlembagaan terutama membabitkan hak istimewa Melayu, institusi Raja, agama Islam serta bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan golongan itu tidak layak menggelarkan diri mereka sebagai warganegara.

Katanya, semua perkara itu termaktub dalam asas Perlembagaan yang tidak sewajarnya dipersoalkan. Sebagai warga negara yang baik, sepatutnya mereka menghormati setiap perkara yang menjadi asas pembentukan negara dan keharmonian kaum di negara ini.

“Perlembagaan berada pada kedudukan tertinggi negara ini dan tindakan mempersoalkan apa yang termaktub tidak sepatutnya dilakukan oleh seseorang warga negara,” katanya.

Ahli sejarah, Prof Datuk Dr Ramlah Adam, mengingatkan generasi muda membuang perasaan malu untuk mengakui serta mempertahankan hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Ia diwujudkan berasaskan fakta serta sejarah penubuhan negara sejak zaman kesultanan Melayu sehingga pembentukan Malaysia yang mengiktiraf Melayu sebagai penduduk asal di negara ini selain mewujudkan keharmonian kaum lain.

Jangan tunduk desakan, ugutan parti Cina

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) meluluskan usul supaya kerajaan tidak tunduk kepada desakan dan “ugutan” parti politik dan NGO Cina dengan mengorbankan hak-hak bumiputera demi meraih undi dalam pilihan raya.

Dalam usul politik yang diluluskan petang ini, Perkasa berpendapat, orang Cina merasakan menjadi penentu kemenangan kepada parti pemerintah dan pembangkang dalam pilihan raya umum yang akan datang.

Menyedari akan hal ini, maka NGO Cina seperti Ziong Dong dan Dewan Perniagaan Cina telah
menggunakan sepenuhnya kesempatan dengan mendesak kerajaan dengan pelbagai desakan yang menguntungkan kaum Cina.

“Jika sekiranya tuntutan mereka tidak diterima maka meraka akan mengugut mengundi Pakatan Rakyat yang mana sanggup menyerahkan apa saja yang kaum Cina mahu,” usul tersebut dipetik.

Usul tersebut menyatakan, hasil desakan tersebut, kerajaan antaranya menaikkan nisbah kuota biasiswa kepada golongan itu dan memberikan peruntukan sebanyak RM1.8 bilion kepada sekolah Cina.

Sementara MCA pula antaranya didakwa meminta kerajaan menambah bilangan bukan bumiputera sebagai penjawat awam dan dengan "biadap" campurtangan dengan meminta kerajaan menilai semla hukuman fizikal terhadap wanita Islam.
Sehubungan itu, usul tersebut meminta parti politik Melayu khususnya PAS dan Umno duduk semeja dan berbincang dan mengadakan kerjasama strategik demi menjaga hak Melayu dan bumiputera berdasarkan perlembagaan
Mesyuarat agung NGO itu juga turut meluluskan tiga lagi usul berkaitan politik, pendidikan, agama dan keselamatan seperti berikut:

- Memohon kerajaan mengekalkan ISA.
- Mendesak kerajaan mengunakan ISA terhadap mereka yang mempersendakan Islam, termasuk mencemar kesucian kalimah Allah
- Menggesa kerajaan meminda semula nisbah kuota bumiputera dan bukan bumiputera kepada 90:10 atau berdasarkan kompositi kaum, iaitu 67:37.

13 April 2010

Perwira kami Dan Kami Sanjung Perjuangan Mu!!!


Histeria rasis dan fobia ekstremis apabila Perkasa bersuara

PERTUBUHAN Pribumi Perkasa Malaysia atau ringkasnya Perkasa terus mendapat perhatian. Begitulah hebatnya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang baru berusia setahun jagung itu. Di Dewan Rakyat minggu lalu, Perkasa turut ‘dijolok’ walaupun secara sepintas lalu.

Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) ketika berucap antara lain berkata: Perkasa sangat jelas mewakili wasted powerful interest yang reactionary, right wing, extremist, perkauman yang tidak mahu negara kita menjadikan satu…” Dan ketika diminta memberi laluan oleh Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) Kit Siang menyambung You boleh cakap nanti, you boleh cakap nanti.

Satu Perkasa satu pertubuhan…. Yang perkauman, yang right wing dan extremist yang menentang Model Ekonomi Baru dan anti-nasional juga”.

Begitulah gambaran yang diberikan oleh Kit Siang terhadap Perkasa. Mungkin kerana pertubuhan itu dipelopori oleh ahli politik yang sebelum ini pernah bersama parti yang menyokong kerajaan dan pembangkang.

Perkasa bukan sekadar dikritik oleh DAP tetapi juga Pas dan di kalangan parti komponen Barisan Nasional (BN). Adakah Perkasa benar-benar ekstremis kerana caranya bersuara untuk mempertahankan hak peribumi?

Setiap persatuan atau pertubuhan atas nama kaum yang ditubuhkan oleh orang Melayu, Cina dan India mempunyai hak untuk menyatakan harapan dan kebimbangan terhadap masa depan mereka termasuklah dalam soal bahasa, budaya, pendidikan dan ekonomi. Jika sesuatu hak itu dicabar atau seolah-olah mahu dicabar maka amat wajar pertubuhan berkenaan bersuara dan pihak berkuasa memberi perhatian terhadap permasalahan yang dibangkitkan.

Bukan bertujuan untuk membela, tetapi sekadar menyatakan rasa hairan apabila Perkasa sering menjadi sasaran setiap kali pertubuhan itu membuka mulut untuk bercakap mengenai hak masyarakat yang diwakilinya.

Sebelum ini, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Rais Yatim berkata, orang Melayu berhak menyokong mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan hak mereka dengan syarat selagi ia tidak dipolitikkan dan mencetuskan kontroversi.

”Begitu juga masyarakat Cina, India dan lain-lain yang turut berhak memilih dan menyokong NGO yang sesuai dengan perjuangan dan kegiatan mereka,” kata Rais.

Tetapi masalah di negara kita, apabila ada pihak yang sentiasa berusaha untuk memberi gambaran salah mengenai Perkasa. Ketika NGO lain boleh secara bebas memperjuangkan hak kaum lain dan disokong sama ada secara langsung atau tidak langsung oleh ‘rakan politik’ yang sealiran, suara Perkasa pula seolah-olah mahu disekat dan diperlekehkan. Kenapa fobia terhadap Perkasa atau histeria bagaikan menyaksikan satu lembaga yang begitu menakutkan?

Di Dewan Rakyat minggu lalu, Ibrahim mempertahankan Perkasa yang diterajuinya ketika beliau berucap menegur serba sedikit mengenai Model Ekonomi Baru. Ibrahim menegur sesetengah golongan Melayu liberal yang sekarang ini sudah mewah, ada kedudukan, tetapi lupa kepada agenda bangsanya sendiri. Memang benar kata Ibrahim, sesetengah orang itu sama ada di peringkat atas (berjawatan tinggi) atau di bawah (masih menuntut di universiti) belum pasti ada di situ tanpa ‘campur tangan’ Dasar Ekonomi Baru (DEB) serta keistimewaannya sebagai peribumi.

Ibrahim seperti dalam hansard Dewan Rakyat yang antara lain berkata: ”Ini bukannya kita hendak merampas hak kaum lain. Selama ini pun 52 tahun pernahkah kita lihat kita bertindak secara beremosi. Saya bersetuju dengan kata-kata mendiang Tun Tan Siew Sin… Segala-galanya kita bagi. Lepas itu bila kita pertahankan hak dan dasar kita, mereka kata kita jeopardize”.

Begitulah suara lantang Ibrahim ketika mempertahankan hak peribumi. Adakah ini rasis sedangkan di pihak sana apabila bercakap mempertahankan kritikan balas terhadap Perkasa dikatakan pula kebebasan bersuara? Inilah dilema yang melanda orang Melayu sekarang sama ada dia dinamakan sebagai parti politik atau NGO.

Menurut Ibrahim lagi, ”Kita (Perkasa) sebuah pertubuhan Melayu dan bumiputera yang memperjuangkan apa yang terkandung di dalam Perlembagaan dan kita tidak menyentuh kepentingan pihak-pihak lain. Kita mempertahankan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan kita menghormati kebebasan agama-agama lain tetapi jangan hendak samakan agama lain dengan Islam. Kita memperjuangkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Bahasa lain bebas tetapi jangan pula hendak letakkan bahasa lain sama dengan bahasa Melayu. Sama juga dengan kedudukan raja-raja Melayu, sama juga dengan kepentingan dan hak istimewa Melayu”.

Kesimpulannya, dipendekkan cerita, kata Ibrahim, Perkasa sama seperti NGO lain yang ditubuhkan untuk menyuarakan kepentingan masing-masing dengan tidak menidakkan pihak lain.

Sebenarnya banyak lagi yang diperkatakan Ibrahim. Pembaca boleh menyelak kembali apa yang diperkatakan oleh wakil rakyat itu dengan melayari laman web rasmi Parlimen. Lihat penyata rasmi bertarikh 6 April 2010. Tak guna nak selak terlalu banyak di sini, nanti ada orang yang histeria rasis.

Dan satu perkara menarik yang Ibrahim bangkitkan ialah mengenai pemilikan tanah dan rumah kedai di kalangan bumiputera. Jika bank boleh beri pinjaman beli kereta 100 peratus termasuk kepada orang yang tidak bekerja kenapa dasar yang sama tidak digunakan untuk bumiputera membeli hartanah ini?

Sebenarnya ramai bumiputera atau Melayu yang sudah berpendapatan tinggi tetapi tidak berani mencuba membeli rumah kedai padahal mereka mampu membeli rumah yang harganya hampir sama dengan rumah kedai. Akhirnya, Melayu hanya mampu menyewa rumah kedai. Sesuatu harus dilakukan supaya wujud kelonggaran yang akan membantu bumiputera memiliki hartanah termasuk rumah kedai. Semoga cadangan Ibrahim untuk memperkasakan bumiputera ini tidak dianggap rasis!

Fatwa Perak bantah jawatankuasa antara agama



IPOH, 12 April — Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak yang bersidang pada 6-8 April lepas mengambil keputusan sebulat suara membantah penubuhan Jawatankuasa Antara Agama.

Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria berkata perbincangan tentang agama Islam tidak memerlukan campur tangan daripada pihak bukan Islam kerana ia boleh mengundang implikasi negatif.

“Setiap agama yang wujud tidak boleh disamakan dengan agama Islam yang mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata sebarang bentuk rundingan atau dialog terhadap agama dibolehkan namun Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak berpandangan ia patut dielakkan sama sekali terutamanya dilakukan di kalangan masyarakat umum yang lebih mengundang ketidakfahaman terhadap mereka.

Harussani berkata walaupun matlamat yang dikemukakan dengan penubuhan jawatankuasa itu adalah untuk mewujudkan keharmonian dan pemahaman agama di kalangan masyarakat Malaysia namun Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak berpendapat bahawa jawatankuasa itu bukan medium yang sesuai

“Ini memandangkan kebimbangan wujudnya tuntutan yang tidak munasabah di kalangan penganut agama lain.

Apatah lagi pewujudan jawatankuasa itu adalah rentetan daripada kegagalan penubuhan IFC (Suruhanjaya Antara Agama) yang telah ditentang dan ditolak oleh umat Islam,” katanya.

Jawatankuasa Fatwa negeri Perak mencadangkan supaya penubuhan Jawatankuasa Antara Agama itu tidak sahaja dirujuk kepada Kabinet untuk tujuan kelulusan, sebaliknya perlu turut dirujuk kepada Majlis Raja-Raja yang mempunyai kuasa tertinggi terhadap agama Islam, katanya.

Pada 6 April lalu, kabinet bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Antara Agama yang dianggotai oleh wakil semua agama tanpa campur tangan mana-mana anggota politik bagi memupuk kefahaman antara penganut-penganut pelbagai agama di negara ini. — Bernama