16 April 2010

Parti Tindakan Demokratik ( DAP )

Parti Tindakan Demokratik (DAP: Democratic Action Party) adalah parti serpihan daripada Parti Tindakan Rakyat (PAP: People's Action Party) di Singapura yang diasaskan pada Oktober 1965 sebelum didaftarkan secara rasmi enam bulan kemudian sebagai salah satu parti politik Malaysia, pada 18 Mac 1966. Parti Tindakan Demokratik (DAP) berfungsi sebagai sebuah parti demokratik sosial yang "berjanji akan berpegang kuat kepada ideologi satu negara Malaysia yang bebas, demokratik dan berfahaman sosialis, berdasarkan prinsip-prinsip keadilan kaum dan kesaksamaan sosial dan ekonomi yang berasaskan institusi demokrasi berparlimen." (Pengisytiharan Setapak, dibuat pada Kongres Kebangsaan DAP pertama di Setapak, Kuala Lumpur pada 29 Julai 1967).

Pada Ogos 1966, lidah rasmi parti iaitu Roket diterbitkan buat pertama kali.

Pada Oktober 1967, DAP menyertai 55 parti demokratik sosial, sosialis dan buruh yang lain di seluruh dunia sebagai ahli Sosialis Antarabangsa (SI) di Persidangan Antarabangsa SI di Zurich, Switzerland.

DAP mencapai pencapaian tertinggi pada Pilihan Raya Umum Malaysia 2008 ketika berjaya menembusi kubu kuat BN di Pulau Pinang. DAP berjaya menewaskan Gerakan di semua parlimen yang ditandingi parti komponen BN itu.

Walaupun memperjuangkan dasar "Malaysian Malaysia" DAP dilihat sebagai parti yang pro-Cina. Ini memandangkan jawatan utama parti dikuasai oleh ahli politik cina yang agak menebal dasar kebangsaannya. Namun, kesepakatan DAP dan PAS dalam pakatan rakyat telah memberikan satu nafas baru.