Sungguhpun demikian, peralihan masa, perubahan landskap politik dan atas kepentingan-kepentingan yang tertentu, sesuatu yang kelihatannya tidak seharusnya timbul, ditimbulkan semula. Penulis tertarik untuk tampil menghuraikan beberapa perkara yang berkaitan dengan Melayu.
Sejarah bangsa Melayu sudah cukup lama. Dua konan Melayu teragung, Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah memerihalkan dengan cukup jelas banyak perkara yang bersangkutan dengan Melayu. Ia ada dibuat secara langsung, dengan menerangkan dan memberikan gambaran-gambaran secara terperinci, manakala sesetengahnya perlu dirumuskan dahulu untuk kita memperoleh maklumat yang lengkap, yang lebih menyeluruh.
Terbentuknya Kerajaan Melayu Melaka merupakan satu hal yang sukar ditolak. Seandainya, digunakan premis mudah menyatakan karya sastera seumpama Sejarah Melayu, yang bukannya sebuah penulisan sejarah secara mutlaknya, merupakan cereka yang mudah dinafikan kebenarannya, catatan sejarah Kesultanan Melayu Melaka tercatat lebih daripada itu.
Banyak buku yang non kreatif, yang bersifat kajian atau penyelidikan – sekiranya konan Sejarah Melayu dikatakan sebuah karya separa kreatif atau kreatif – membuktikan bahawa Kesultanan Melayu Melaka wujud dan amat gilang-gemilang. Pemerintahannya teratur, hubungan dagang dan diplomatiknya dengan dunia luar luas, termasuk hubungannya dengan Kerajaan China yang dikenali besar dan tertua.
*Klik Gambar di atas untuk Laporan Penuh