11 Februari 2010

Ketua Menteri diktator


TULISAN Awang dalam ruangan ini minggu lalu yang mempersoalkan agenda tersirat DAP di sebalik gagasan Middle Malaysia, mengundang reaksi balas pemimpin utamanya, Lim Kit Siang.

Seperti biasa Kit Siang menggunakan beberapa akhbar utama Cina untuk menghentam Awang. Beliau tidak dapat menerima realiti bahawa masyarakat Melayu tetap menolak DAP di sebalik gembar-gembur parti itu kononnya sokongan daripada Melayu meningkat.

Tetapi realitinya, semua tahu, sebahagian Melayu yang menyokong DAP adalah atas tiket sokongan mereka kepada PAS, bukannya teruja kepada DAP, seperti yang cuba dikelirukan.

Pada Awang, DAP tidak boleh dipercayai selagi pemimpinnya bermotifkan perjuangan ultra-rasis dan tidak menjunjung Perlembagaan negara.

Kini parti itu makin terdesak berikutan banyak perkembangan politik yang tidak memihak kepada pakatan pembangkang. Selain perpecahan, terdapat banyak kepincangan, kelemahan dan kecelaruan. Ini termasuk di Pulau Pinang, yang diperintah oleh DAP di bawah pimpinan anaknya, Lim Guan Eng. Semakin banyak pihak termasuk pembangkang kecewa dan marah.

Terbaru, yang panas dan menggegar ialah kritikan keras Ahli Parlimen Bayan Baru, Zahrain Mohd. Hashim yang juga bekas Pengerusi PKR Pulau Pinang terhadap Guan Eng. Beliau menggambarkan Guan Eng sebagai diktator, cauvinis dan berfikiran komunis (laporan asal di akhbar The Star, 29 Januari lalu).

Zahrain mendakwa Ketua Menteri Pulau Pinang itu gagal menunaikan janji-janjinya termasuk untuk melaksanakan sistem tender terbuka dan pilihan raya Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atas kepentingan politik. Menurut beliau, Guan Eng juga tidak boleh dikritik dan sesiapa yang mengkritiknya akan dituduh ejen UMNO. Malah Zahrain menyifatkan Setiausaha Agung DAP itu sebagai liabiliti kepada pakatan pembangkang. Awang tertarik dengan pendedahan beliau itu termasuk tindakan Guan Eng yang mempengerusikan sendiri lembaga tender. Wow. Mana pergi integriti yang dilaung-laungkan? Ada lagi pendedahan Zahrain, antaranya Guan Eng amalkan penganugerahan kontrak mengikut asas siapa kenal siapa dan hanya bertutur bahasa Mandarin ketika berucap pada konvensyen pakatan pembangkang yang turut dihadiri oleh pelbagai kaum. Awang geleng kepala tetapi tidak terkejut kerana itulah sebenarnya karakter DAP. Pemimpin parti itu hanya pandai mengkritik dan berjanji tetapi tidak pandai mentadbir. Paku dulang paku serpih, mengatakan orang, dia yang lebih. Memburukkan lagi keadaan, kepentingan Melayu semakin terhakis sejak Guan Eng memerintah. ''Kerajaan di bawah pakatan pembangkang lebih teruk, zalim dan kejam," kata Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang, Rizal Faris Mohideen Abdul Kader selepas demonstrasi aman 50 badan bukan kerajaan (NGO) Melayu. Awang sedih melihat nasib orang Melayu yang terpaksa merayu agar mereka tidak ditindas.

Lebih menyedihkan melihat segelintir Melayu yang sebelum ini mudah termakan dengan muslihat DAP. Apabila pemimpin DAP memetik ayat al-Quran dalam ucapan, orang Melayu pun lembik lutut. Apabila Guan Eng asyik menobatkan falsafah Saidina Umar Abdul Aziz dalam ucapannya, ada Melayu yang teruja dan kelam minda. Dan apabila ada pemimpin pembangkang Melayu dipergunakan oleh DAP, Melayu menjadi leka. Ternyata percaturan parti itu semakin ketara untuk menguasai kaum majoriti Melayu dengan menulis semula perlembagaan. Sesungguhnya ada jerat besar dipasang oleh DAP mengundang keruntuhan Melayu, yang banyak petunjuk sudah jelas di depan mata. Ia bukan bayang-bayang lagi