11 Ogos 2009
DAP hina institusi raja Perak
Kerajaan negeri mahu Pengerusi Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Loke Siew Fook, memohon maaf secara terbuka dan dikenakan tindakan tegas selepas blognya Themightypen.blogspot.com membuat tohmahan dan memburukkan institusi raja di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, artikel disiarkan pada 6 Ogos lalu itu bagaimanapun didapati dipadam hari ini setelah menimbulkan kemarahan pelbagai pihak.
Kata beliau, artikel tersebut jelas melampaui batas apabila memperkecilkan dan memaki hamun institusi raja termasuk Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah serta Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.
"Sebuah parti yang bercakap mengenai demokrasi, keadilan dan sebagainya, membuat komen-komen seolah-olah negeri dan negara ini tidak ada undang-undang.
"Tulisan ini sangat berbahaya dalam hubungan kaum di negara ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Parit Buntar di sini semalam.
Zambry yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, kebiadapan dan sikap kurang ajar keterlaluan itu menggambarkan Siew Fook tiada ciri-ciri kehidupan sebagai seorang rakyat Malaysia.
Beliau turut menganggap ahli politik pembangkang itu hilang kewarasan dan boleh mencetuskan ketegangan dalam masyarakat kerana orang ramai sudah mula menyebarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) mengenai perkara itu.
Justeru, beliau mendesak supaya langkah segera diambil ke atas penulis tersebut selain memberi penjelasan secara terbuka kepada semua pihak yang sedang marah.
"Walaupun ia telah dipadam tetapi kesan daripada apa yang ditulis oleh beliau sudah pun tersebar ke seluruh negara.
"Institusi raja terlalu dekat dengan hati orang Melayu, dan jangan cuba bermain api. Saya beri amaran ini kerana saya tidak akan bertanggungjawab jika berlaku perkara tidak diingini di negara kita dan juga di Perak," katanya.
Kata Zambry, penulis blog seperti itu tidak patut dibiar 'berkeliaran' di Malaysia kerana kesan daripada tulisan tersebut dikhuatiri mengundang kejadian lebih buruk.
"Ia hanya untuk memenangi kelompok tertentu. Kita akan bertindak terhadap penulis blog ini berdasarkan peraturan dan undang-undang," katanya.