28 April 2012
Melayu Makin Kaya???
Dr. Lim Teck Ghee, Pengarah Centre for Policy Initiatives (CPI) membuat kenyataan di Nanyang Siang Pau bahawa ekuiti korporat Bumiputera mungkin berada di tahap 45% dan bukannya 23.9% seperti yang diwar-warkan kerajaan.
Dalam ertikata lain, Dr. Lim mencurigai atau menuduh kerajaan sebagai ‘tersalah kira’ atau ‘berbohong’ kepada rakyat. Atas dasar apa Dr. Lim berkata demikian tidak pula dinyatakan dengan jelas. Maka, kita tidak dapat mengelak dari merasa curiga tentang kenapa Dr. Lim mencurigai kerajaan.
Mungkinkah ini satu lagi dari strategi tersusun pihak-pihak tertentu yang ingin menggugat kestabilan Malaysia semata-mata ingin menukar kerajaan? Jika benar, taktik membangkitkan rasa curiga, syak wasangka ini bolehlah dikatakan taktik paling kotor dan paling jahat.
Nampaknya, Dr. Lim seolah-olah berhujah dengan hanya merujuk kepada pandangan kasar dan rambang ketika memandu di sekitar bandaraya Kuala Lumpur. Benar, di sekitar KL kini kita boleh melihat banyak kereta-kereta mewah dipandu oleh orang Melayu. Begitu juga dengan rumah-rumah besar banyak juga yang dimiliki oleh orang Melayu. Perniagaan juga begitu, saban tahun semakin banyak syarikat bumiputera tersenarai di BSKL.
Sebagai hujah balas, kita juga boleh memperdebatkan isu ini dari segi pandangan kasar atau rambang seperti juga hujah Dr. Lim. Dan jika kita berhujah tanpa prejudis atau niat jahat maka kita akan terpaksa mengakui bahawa di jalanraya di KL hari ini, pemandangan yang sering dilihat ialah dalam setiap 100 biji kereta mewah di jalan raya, 70% – 80% dimiliki oleh orang Cina. Begitu juga dengan rumah-rumah besar dan syarikat-syarikat besar.
Berapa kedai milik Melayu boleh dilihat di KLCC? Tidak ada. Berapa kedai milik Melayu di Alamanda? Mungkin satu sahaja iaitu restoran beriani. Berapa pula di Subang Parade, Empire, The Curve, One Utama? IOI Mall? Kita minta Dr. Lim buat kajiselidik dan jawab sendiri.
Rujukan