08 Februari 2010

Hadi: PAS sedia berbincang dengan Umno


PAS bersedia untuk berbincang dengan Umno dalam perkara yang parti pembangkang tersebut dapat bekerjasama, termasuk isu yang berkaitan dengan keselamatan negara, ekonomi, agama dan politik, kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata amalan tersebut telah menjadi dasar PAS, yang berpanjangan secara praktikal, di mana kepimpinan parti mengemukakan pandangan serta pendirian mereka terhadap sesuatu isu.

"Kita tidak berperang. Kita berhujah, berdebat dan berbincang namum kita akan tegur kerajaan dalam perkara yang kita tidak bekerjasama," katanya.

Abdul Hadi memberitahu demikian dalam sidang media sempena lawatan beliau ke Sarawak untuk meninjau persediaan PAS dalam menghadapi pilihan raya negeri yang akan datang, di Kuching hari ini


Beliau diminta mengulas kenyataan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat yang mahu Umno dan PAS menghentikan pertelagahan mengenai politik, sebaliknya duduk semeja bagi membincangkan isu-isu berkaitan agama Islam.

Mengenai pilihan raya negeri, beliau berkata PAS belum lagi menentukan jumlah kerusi dewan undangan negeri yang bakal ditandingi dan akan berbincang dengan Pakatan Rakyat untuk membuat pembahagian secara strategik.