10 Disember 2009
'Biadap!!!! wakil DAP persoal dana untuk masjid
Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) menyifatkan anggota parlimen Taiping, Nga Kor Ming sebagai biadap dan cuba menyalakan api dalam sekam apabila mengungkit perbelanjaan kerajaan membina masjid dan mendesak kerajaan memberi peruntukan lebih kepada rumah ibadat bukan Islam.
Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata Nga daripada DAP telah menyentuh hal ehwal agama Islam yang terletak bawah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu.
"Dia boleh desak kerajaan beri peruntukan lebih untuk kegiatan agama lain tetapi dia tak boleh membandingkan peruntukan yang diberi oleh kerajaan untuk pembinaan masjid.
"Apabila itu berlaku apatah lagi dibuat di luar Parlimen, maka ini sudah jadi hasutan selain satu kenyataan politik yang cuba menimbulkan pergaduhan agama," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Ibrahim, juga ahli parlimen Pasir Mas, berkata tiada sesiapa pun yang berhak membangkitkan soal perbelanjaan yang diperuntukkan untuk membina masjid walaupun dengan tujuan untuk meminta peruntukan yang lebih bagi aktiviti agama lain.
Semalam, Nga mengeluarkan kenyataan mempersoalkan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM748.26 juta bagi membina 611 masjid bagi tempoh 2000 hingga 2008 sedangkan pada masa yang sama kerajaan gagal membina rumah ibadat bagi agama lain.
Ibrahim berkata jika kenyataan itu dibuat ketika perbahasan dalam Parlimen sekalipun, ia dilarang kerana bukan semua perkara boleh dibangkitkan sewenang-wenangnya atas nama kekebalan anggota parlimen.
Katanya, Perkasa akan mengadakan satu mesyuarat tergempar bagi membincangkan isu itu. BERNAMA