07 Ogos 2009

7 wasiat Raja Melayu



KUALA LUMPUR 6 Ogos - Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah hari ini mengingatkan rakyat khususnya orang Melayu mengenai tujuh wasiat raja-raja Melayu yang menjanjikan kesejahteraan, kedamaian dan keamanan jika mereka bersatu dan berpegang teguh kepadanya.

Wasiat yang disampaikan semasa raja-raja Melayu menurunkan tandatangan persetujuan pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957 itu ialah:

• Kami namakan dan kami panggil akan dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu
junjung Persekutuan Tanah Melayu (sekarang dikenali dengan nama Malaysia).
• Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan
simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, Tanah
simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama
kaum lain.
• Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kami serta harta milik kamu, kami
tubuhkan Rejiman Askar Melayu selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan
ancaman dari luar negara.
• Kami kekalkan dan kami jamin kerajaan dan kedaulatan raja-raja Melayu memerintah
negara ini.
• Kami isytiharkan Islam adalah agama Persekutuan.
• Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu.
• Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada raja-raja Melayu untuk
melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain
(kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak).